‘TAK FAHAM ITU INDAH, SALAH FAHAM ITU BAHAYA’:

(NOTA: Ulasan ini pertama kali disiar dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia, 17 Januari, 2010.)

Tahun 2010 sudah pun diisytihar sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti. Mansor Puteh telah terlebih awal memberi ‘tendangan yang pertama’ dengan mengemukakan sebuah karya berbentuk dokumentari dengan judul, Bertahun di Residensi (The Residency Years).

Mansor membawa satu pendekatan yang jarang-jarang dilihat di stesen televisyen tempatan. Baru-baru ini, dokumentari tersebut ditayangkan untuk media di FINAS.

Yang menjadi menarik di sesi ini bukanlah polemik tentang filem itu sendiri tetapi polemik berkaitan dengan komen Mansor terhadap para penilai filemnya yang dilantik oleh FINAS sebagaimana yang tersiar dalam Mingguan Malaysia tempoh hari.

Pada kebiasaannya polemik penting dalam penilaian sesuatu karya seni. Polemik adalah sesuatu yang sihat yang berupaya membuka banyak ruang untuk menilai sesuatu karya seni yang mampu membawa khalayak melihatnya dari pelbagai sudut.

Ini kerana karya seni ada kalanya bersifat ikonik, ia itu, maksudnya jelas; adakalanya ia bersifat indeksikal, ia itu, membawa petunjuk tentang sesuatu, dan adakalanya ia bersifat simbolik (atau ambiguous), yang tentunya boleh membawa pelbagai pendapat dan tafsiran.

Malangnya, sesi tersebut di FINAS tersasar dan membuatkan ramai menjadi terlalu emosional. Anehnya, Mansor Puteh kelihatan amat tenang walhal dialah yang sepatutnya lebih tensyen. Namun begitu, Mansor perlu peka kepada syarat dan peraturan FINAS yang bertindak sebagai penerbit, apatah lagi peruntukkan yang diberi adalah geran dan bukan pinjaman.

FINAS juga tidak perlu melenting kerana ia merupakan sebuah perbadanan dan bukan jabatan Kerajaan seperti, misalnya, Filem Negara. Apa saja kritikan sepatutnya dijadikan peluang untuk memperbaiki mana yang patut agar menjadi panduan untuk lebih berjaya di masa hadapan. Kesefahaman di antara kedua pihak tentunya akan membawa kepada kebaikan.

Kebelakangan ini, salah faham tentang medium filem kerap berlaku bukan sahaja di kalangan karyawan kita tetapi juga di kalangan media, birokrat, ahli akademik dan juga ahli panel juri di pelbagai festival tempatan. Produksi filem dikelirukan dengan ilmu filem. Seorang yang pandai menyelesaikan sesuatu produksi dengan baik tidak semestinya memahami ilmu filem.

Dia mungkin hanya mahir di segi aspek teknikalnya sahaja. Besar kemungkinan dia langsung tidak mempunyai ilmu atau kefahaman untuk menyelami pemikiran, estetika dan falsafah yang terdapat di sebalik sesuatu karya filem.

Dalam hal ini, Mansor sudah menerima nasib malang sebanyak tiga kali di tangan mereka yang tidak memahami karya yang berbentuk alternatif (yang berbeza daripada filem arus perdana atau mainstream).

Pada tahun 1987, Mansor mendapat pinjaman FINAS untuk menerbitkan filem cereka sulungnya, Seman.

Semasa filem ini masih dalam pembikinan, pinjaman dihenti disebabkan penilaian negatif yang dibuat berdasarkan tera sulungnya (atau rushes) oleh seorang ‘pakar’ (dalam produksi filem).

Namun begitu, Mansor dapat selesaikan filemnya dan berjaya membayar balik wang yang sudah diterimanya. Di atas usaha gigihnya, Seman berjaya ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa.

Skrip filem cerekanya berjudul Malaysian Snow pula tidak dapat diterbit disebabkan pelbagai kerenah yang datang daripada pihak bank (walaupun skripnya telah pun dilulus oleh FINAS, dan itu pun selepas rayuan dibuat apabila penilaian yang kurang memihak di peringkat awal).

Kini sejarah berulang lagi. Para penilai Bertahun di Residensi merupakan mereka yang hanya terpelajar dalam bidang penerbitan dokumentari, tidak dalam bidang filem. Ada yang kepakarannya dalam bidang produksi filem, bukan ilmu filem. Filem alternatif dinilai dari seperti filem arus perdana.

Yang tersurat tidak diselami dan tanda tidak dilihat sebagai petunjuk tentang sesuatu. Memang benarlah kata U-Wei Hajisaari: “Tak faham itu indah tapi salah faham itu bahaya”.

Bukankah lebih baik penilai-penilai dipilih dari kalangan karyawan berkelulusan dalam bidang filem seperti Dr. Anuar Nor Arai, Dr. Mahadi J. Murat, Hafsham atau pun U-Wei Hajisaari?

Atau pun dipilih dari pembikin dokumentari yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Amir Muhammad (The Big Durian, filem tunggal Malaysia yang ditayang di Festival Filem Sundance) atau pun Naguib Razak (The Boatbuilders of Mermaid Island yang ditayang di Saluran Discovery Channel)?

Khalayak sebenarnya dikelirukan selama ini tentang bentuk dan rupa dokumentari kerana sudah terlalu lama dibiasakan dengan ‘dokumentari’ terbitan stesen televisyen tempatan atau pun Discovery Channel dan National Geographic.

Pada hakikatnya, kebanyakkan dokumentari arus perdana adalah filem hiburan di mana struktur dan teknik penerbitannya dirangka agar dapat menarik perhatian penonton dan bertujuan mendapat rating yang tinggi.

Filem-filem seperti ini tidak sejujur filem alternatif seperti Bertahun di Residensi yang mengajak penonton untuk turut terlibat dalam penceritaan dan penghayatannya.

Namun begitu, polemik yang tercetus ini sudah membuatkan nama al-Marhum Tunku Abd. Rahma Putra al-Haj sebagai Bapa Kemerdekaan, menjadi buah mulut khalayak dan terpapar di dada akhbar dan Internet.

Tunku juga sudah menjadi lebih dekat pada kita melalui gaya penyampaian Mansor. Penemuan peti besi milik Tunku dijadikan premis untuk membongkar banyak yang tidak pernah diketahui umum.

Sekaligus, Mansor menambahkan lagi khazanah arkib tentang Tunku yang akan kekal dalam ingatan kita untuk selama-lamanya.

Mansor mengajak khalayak untuk melihat Tunku bukan sebagai seorang Perdana Menteri (yang sudah pun dipaparkan dengan baik sekali oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba melalui filemnya, 1957: Hati Malaya namun tidak mendapat sambutan).

Mansor mahu kita melihat al-Marhum sebagai seorang insan biasa yang berketurunan Raja tetapi selesa berpakaian kain sarung biasa di khalayak.

Kini baru kita tahu bahawa al-Marhum tidak mahu dilayan di London sebagai seorang putera raja tetapi sebagai seorang pelajar biasa semasa dihantar untuk belajar di sana pada usia muda.

Baru sekarang kita tahu bahawa al-Marhum juga pernah menerima nasib yang sama seperti karyawan filem tempatan apabila tidak menerima royalti hasil daripada skrip Mahsuri penulisannya dengan pelbagai alasan daripada pihak penerbit.

Ternyata Bertahun di Residensi adalah satu pengembaraan, catatan dan rakaman peribadi Mansor, sekaligus memperlihatkan beliau sudah lebih tahu tentang beberapa aspek kehidupan Tunku yang tidak diketahui Syed Abdullah, anak angkat Tunku sendiri.

Dalam satu adegan, Syed Abdullah diperlihatkan kembali ke Residensi tetapi hanya sebagai seorang pelawat biasa walaupun pernah menghuni di sana.

Dari segi pendekatan penerbitan, Mansor menggunakan apa yang digelar formalist atau pun expressionist. Pendekatan ini jelas melanggar segala konvensi dan peraturan dalam berkarya dalam filem. Maka tidak berasas beberapa komen seperti ‘kamera goyang’, ‘gambar yang melompat-lompat’, ‘framing tak betul’ dan ‘gambar gelap’.

Perlu diingat, bahawa buku dan pengajian seharusnya tidak dijadikan sandaran. Cukuplah sekadar menjadikannya sebagai rujukan. Jika dijadikan sandaran semata-mata, akan sesatlah jalan. Ilmu itu berlapis, maka perlu dipadankan dengan petunjuk dari Tuhan. Maka dengan itu, akan adillah sesuatu penilaian.

Mansor Puteh tahu apa yang dibuatnya. Sudut pandangannya jelas. Bertahun di Residensi merupakan satu pengembaraan yang amat peribadi, sesuatu yang seakan-akan dirakam oleh beliau sendiri. Kata pengarah filem tersohor dari Sweden, Ingmar Bergman: ‘Jika mahu tahu apa yang diperkatakan oleh seorang karyawan, lihatlah bagaimana ia memperkatakannya’.

Jika mahu tahu apa yang ingin diperkatakan Mansor dalam Bertahun di Residensi, lihatlah bagaimana ia memperkatakannya melalui teknik komposisi, sinematografi, suntingan dan penataan cahaya yang jelas melanggar segala peraturan pembikinan filem biasa.

Aerial shot Kuala Lumpur yang menampakkan bangunan-bangunan pencakar langit seakan ‘dilihat’ oleh Tunku.

Mansor menguatkan adegan ini dengan syot arkib yang menunjukkan Tunku turun dari pesawat selepas misi Merdeka ke London. Visual pembangunan pesat di Kuala Lumpur seakan membangkit-kan satu pertanyaan: Sekiranya Tunku masih hidup, apakah Tunku akan gembira dengan keadaan Malaysia sekarang?

Apakah rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan muhibbah sebagaimana diimpikannya sewaktu mencapai kemerdekaan dahulu?

Visual Stadium Merdeka diulang-ulang. Inilah tempat yang amat bersejarah yang telah dibina khusus untuk pengisytiharan Merdeka dan di mana telah bergemanya laungan Tunku yang keramat. Apakah ianya kini berdiri sebagai satu monumen yang sudah dilupakan asal usulnya?

Perlukah kita menilai semula Stadium Merdeka sebagai simbol untuk membakar semangat agar kita dapat menjadi rakyat yang benar-benar merdeka? Atau apakah stadium bersejarah ini sudah tidak ubah seperti foto-foto dalam buku The Residency Years dan hanya menjadi tatapan semasa minum kopi?

Inilah persoalan-persoalan pada hemat saya yang dibawa oleh Mansor melalui visual-visual yang ‘sarat dengan makna’.

Di akhir filemnya, Mansor mencuit para penonton dengan visual sekumpulan remaja bermain gitar dan bernyanyi dalam suasana tanpa cahaya. Maka timbullah lagi persoalan: Apakah makna kemerdekaan bagi mereka ini?

Benarkah remaja-remaja ini (putera-putera Merdeka) mewarisi apa yang benar-benar diimpikan Bapa Kemerdekaan kita? Lebih tepat lagi, apakah minda mereka sudah merdeka?

Karya Mansor Puteh memainkan peranan sebenar sebuah dokumentari, ia itu, engaging the audience in a discourse.

‘Membaca’ karya Mansor memerlukan sedikit usaha. Karya-karya daripada pembikin generasi baru seperti Mansor, U-Wei Hajisaari, Anuar Nor Arai, Mamat Khalid, Wan Azli Wan Jusoh, James Lee, Amir Muhammad, Ho Yuhang dan beberapa yang lain, adalah karya yang terhasil dari minda yang sudah merdeka; yang tidak dibelenggu oleh karya arus perdana yang bersandarkan keuntungan semata-mata. B

ilakah karya-karya alternatif karyawan-karyawan ini akan mendapat perhatian khalayak? Selagi penerbit-penerbit filem dan stesen-stesen televisyen tempatan tidak berusaha untuk memerdekakan minda rakyat Malaysia daripada santapan karya arus perdana yang mediocre dan bersifat hiburan semata-mata, maka selagi itulah karya alternatif tidak akan dapat dinikmati oleh khalayak dan memerdekakan minda mereka.

Maka akan sia-sialah segala usaha institusi-institusi pengajian tinggi dan agensi-agensi kerjaan yang berkaitan untuk melahirkan orang-orang seni ‘yang inovatif dan kreatif’.

Slogan akan kekal sebagai slogan dan hanya menjadi retorik semata-mata.

Dalam adegan di akhir filem Seman arahan Mansor Puteh, watak utamanya menyampaikan sebuah monolog: “Aku gagah berani, menentu masa depan sendiri. Aku tidak bersenjata. Cuma kekuatan di dada. Aku manusia biasa”.

Kata-kata ini sebenarnya luahan yang timbul dari lubuk hati Mansor sebagai seorang karyawan yang terpinggir di negara sendiri; yang tidak dapat peluang untuk berkarya seperti diinginkannya; yang berhadapan dengan mereka yang tidak berilmu untuk melihat apa yang diperkatakannya tentang bangsa dan negara yang dicintainya.

Mungkinkah kata-kata sebegini juga pernah terlintas di fikiran al-Marhum Tunku semasa berusaha menuntut kemerdekaan dahulu di mana beliau berhadapan dengan sang kolonialis yang berdolak-dalik dan penuh kerenah?

Karya seni yang baik mampu membawa pelbagai cetusan dan tafsiran. Mansor sudah berjaya melakukannya dalam Bertahun di Residensi. Mansor Puteh hanya ‘manusia biasa’ tetapi luar biasa dalam kebiasaannya.

Negara memerlukan karyawan yang inovatif dan kreatif untuk memberi inspirasi kepada para remaja dan graduan dalam bidang seni yang akan menjadi karyawan nanti.

Para penilai di kalangan panel juri festival filem juga perlu dipilih dengan teliti supaya karyawan yang inovatif tidak menjadi mangsa mereka yang kurang ilmu penilaian. Negara memerlukan insan-insan seperti Mansor Puteh untuk memerdekakan dunia seni filem tanahair daripada karya picisan yang kosong di segi pemikiran.

Mahukah kita membenarkan ianya berlaku? Atau pun mahukah dibiarkan Mansor bermonolog bersendirian lagi seperti protagonis dalam filemnya, Seman: ‘Aku pejuang bangsa, tak tahu khianat kepada negara. Aku pahlawan perkasa, sambut seruan pertiwi, semurni kasih bunda, sejernih embun pagi.’

Jika mahu mengenali seorang karyawan yang tulen, lihatlah karyanya. Untuk mengenali Mansor Puteh, selamilah watak Seman dan isis kandungan filem Seman.

Kata-kata Seman itu seakan tangisan yang penuh dengan sedihan. Tangisan itu sebenarnya tangisan Mansor Puteh sendiri. Tangisannya bukan di luar tetapi di dalam, yang telah berlanjutan selama lebih tiga puluh tahun yang penuh perjuangan yang perit dan sengsara. Berapa lama lagikah kita mahu membiarkannya bertangisan berseorangan?

(Hassan Abd Muthalib adalah Karyawan Tamu Kanan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM, Kampus Puncak Perdana, Shah Alam.)

Comments

Anonymous said…
Siapa tak baca artikel ini dan memahaminya amatlah rugi