MENGENANG ANUAR ARAI, PhD, FILEM DAN DRAMA (UNIVERSITY OF SOUTHERN CALIFORNIA.)

Oleh Mansor Puteh


Amat mengejutkan. Berita kematian rakan baik saya Anuar Nor Arai tiba secara mengejut, secara tiba-tiba. Kita baca Al-Fatihan sebab ia adalah ketentuan Ilahi yang lebih tahu kenapa insan bernama Anuar Nor Arai ini mahu dibawa ke sisiNya.

Saya masih ingat pertama kali berjumpa dengannya dalam acara forum berjudul, ‘Siri Dialog Cerdik’ yang diadakan di Sudut Penulis dalam tahun 1982 dahulu. Saya, Anuar, Johan Jaafar dan Hamzah Hussin bercakap dalam forum yang membincangkan tentang Pengarah Hussain Hanif yang terkenal dengan filem garangnya seperti ‘Hang Jebat’ dan ‘Istana Berdarah’. Dan filemnya berjudul, ‘Jiran Sekampong’ telah dijemput untuk tayangan khas di Pusat Kebudayaan Pompidou di Paris Disember depan sehingga Mac.

Sebanyak 51 buah filem dan video dari Malaysia dan Singapura turut ditayang selama tiga bulan termasuk filem lama saya berjudul, ‘Seman’ yang ditayang pada 4 Januari dan kali kedua pada 29 Januari depan.

Kali terakhir saya bertemu dengan Anuar ialah pada 7 Januari lalu di pejabatnya di Akademi Seni dan Warisan (Aswara). Ketika itu dia sedang menulis kritikannya tentang dokumentari saya, ‘Bertahun di Residensi’ (The Residency Years) yang dia mahu persembah dalam sebuah acara tayangan dan forum di Aswara untuk pelajar-pelajarnya dan orang awam serta media.

Dia tunjuk saya muka satu tulisannya dan suruh saya hantar karangannya ke semua media. Tapi saya beritau dia untuk tunggu sehingga hari forum itu. Dia bersetuju dan akan suruh petugasnya untuk hantarnya dengan emel.

Saya masih ingat lagi apabila berkata, dia tulis bukan sebab saya rakannya; dia tulis sebagai sarjana yang berfikiran bebas. Saya beritau dia saya tidak kisah sebab tahu Anuar gemar dokumentari itu dan mahu bercakap tentangnya dan mendidik pelajar bidang perfileman di Aswara untuk menontonnya dan memahaminya.

Dia bercakap tentang ‘picturing’ atau ‘pegambaran’ (bukan ‘penggambaran’. Siapa kata Bahasa Melayu tidak kompleks?) Mungkin ini perkataan baru dalam bidang perfileman di Malaysia, tetapi inilah Anuar yang gemar lontar dan guna perkataan-perkataan yang orang lain tidak pernah guna dalam perbincangan tentang filem di Malaysia.

Dan Anuar buat saya rasa malu bila dia bertanya kenapa saya enggan terima tawaran mengajar di Aswara kursus teori dan kritikan filem untuk pelajar peringkat sarjana muda.

Saya hampir tersentak dengan soalan ini, walaupun ia tidak kedengaran seperti dia marah. Saya dapat rasa dia terkilan.

Lantas dia berkata, dia mahu ‘pelajar-pelajar mendapat perspektif baru’ dalam filem.

Saya tidak duduk lama di pejabatnya sebab saya lihat dia mahu terus tulis kritikannya tentang dokumentari saya, jadi sayapun meminta diri dan pergi dari situ, sebab dia tidak mempunyai banyak masa katanya, sebab dia akan ke Port Dickson untuk beberapa hari bersama pensyarah dan pegawai Aswara lain.

Saya juga masih ingat bagaimana dia telah pelawa saya untuk belarkon sebagai watak utama dalam filem terbitan pelajar Aswara berjudul, ‘Jimbo’ yang sepatutnya difilemkan tahun lalu. Persiapan telah hampir dilakukan, tetapi penerbitan tidak dapat dimulakan dan filem ini terpaksa dibatalkan.

Akhirnya dia mendapat seorang pelakon lain untuk main watak utama itu dan dia beri saya watak seorang wartawan pula yang hanya mempunyai enam babak sahaja.

Ramai orang tidak sedar bahawa Anuar telah mengarah sebuah filem semasa mengajar di Universiti Malaya, berjudul, ‘Johnni bikin filem’. Filem ini sepanjang lima jam, dan ia telah diterima oleh Pesta Filem Venice, tetapi pihak penganjor menarik balik tawaran apabila mereka diberi salinan dua jam yang pada mereka ‘tidak mempunyai struktur’. Anuar tidak faham apa yang mereka maksudkan.

Anuar juga telah mengarah sebuah teater muzikal berjudul, ‘Ronggeng Rokiah’ dan menulis banyak skrip drama televisyen yang diterbit dan diarah oleh orang lain.

Pendek kata, walaupun dia sibuk mengajar dia masih mempunya masa untuk berkarya. Dan setahu saya skrip yang ditinggalnya berjumlah berpuluh-puluh yang belum diterbit dan tersimpan dengan baik.

Walaupun Anuar bekerja di Aswara mula sebagai ketua jabatan filem dan kemudian pengarah hal ehwal akademik dan kemudian pemangku rektor sebelum dilantik sebagai timbalan rektor, tetapi dia telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada pelajar-pelajar dan Aswara.

Tentu sekali amat sukar untuk Aswara mendapat seorang tokoh akademik dan intelektual bidang perfileman sepertinya.

Latarbelakangnya dalam bidang teater atau drama pentas termasuk minatnya terhadap bidang-bidang kesenian lain membuat fikirannya luas. Dia faham semua genre filem dan karya seni lain dan boleh terimanya asalkan ia bermutu dan baik.

Mungkin orang tidak sedar bahawa hasratnya untuk melihat penubuhan sebuah Sinema Malaysia tidak kesampaian; pandanganya yang bernas dipandang rendah dan dia sering juga dicemuh bila bercakap tentang filem.

Ada segelintir orang yang rata-rata tidak senang dengan kehadirannya sebagai sarjana berkelulusan ijazah kedoktoran dari University of Southern California (Universiti California Selatan – USC), yang merupakan sebuah universiti penting dalam bidang pengajian filem, kelihatan janggal di dalam khalayak yang dangkal tentang filem.

Yang nyata sekali ialah ketokohan dan kepakarannya tidak diguna sepenuhnya oleh kerajaan dan masyarakat umum kerugian, sebab perusahaan filem kita masih terkebelakang oleh sebab saranan dan penglibatan mereka yang terdidik diperkecilkan dengan perlantikan mereka yang tidak berpendidikan sepertinya.

Ini yang anih: Dalam zaman bila banyak – dan hampir semua pemimpin Melayu bercakap mahu galak anak Melayu mendapat kelayakan akademik cemerlang dari universiti terulung di Amerika dan dunia – anak Melayu yang sebegitu kecil yang mempunyai cita-cita tinggi untuk membangunkan bangsa dan negara yang tidak kurang dengan pengelaman dan kelayakan akademik mereka dipinggirkan. Lebih teruk lagi mereka dicemuh.

Inilah sebabnya kenapa perusahaan filem tempatan lesu dengan semangat yang kendur; pandangan ke belakang melekakan kerabat seni filem yang asyik pula dengan glamor dan perasaan bangga diri, dengan menyibukkan kegiatan mereka bukan dengan terus berkarya, tetapi dengan membuat perbuataan yang sudah jadi mual.

Sampai bila mesti kerajaan dan pemimpin Melayu berundur dan biarkan mereka yang berkelayakan majukan perusahaan filem dan bidang kesenian lain?

Selagi pemimpin yang tidak ada kelayakan formal dalam bidang ini, dan mahu pilih mereka yang sebulu dengan mereka, selagi itu kegiatan seni di Malaysia lesu.

Perlantikan ke jawatan penting tidak dilakukan dengan mengambil kira kelayakan dan pengelaman tetapi keserasian mereka dengan menteri.

Siapa yang boleh mengambil alih tempat Anuar sebagai tokoh intelektual filem di Malaysia sekarang?

Comments

Anonymous said…
tinggal abg mansor je la..dulu ada arwah..kasi gegar sikit bang,asyik cerita hantu,comedy,cerita cliche yasmin..boring arr..
Anonymous said…
anony 1, yasmin pun dah mati lah. kau tak tau lagi ke? jangan biarkan diri anda dihantui misteri. hahaha.

cayalah wak mansor, saya tak perasan pun artikel ni dalam bahasa. terima kasih dan teruskan menulis!
manman said…
ulasan seman di perancis
Anonymous said…
Selagi pemimpin tidak ada kelayakan formal dalam bidang ini, dan mahu pilih mereka sebulu dengan mereka, selagi itulah kegiatan seni di Malaysia lesu.

Itu sebab Finas kantoi!!!
Mazura said…
Thank you for your honest and sincere thoughts about my late father. We all miss him dearly...