DARI 'EDGE OF THE WORLD' KE' RAJAH' - SEBUAH FILEM TENTANG SEJARAH SARAWAK DAN SULTAN BRUNEI YANG RATA-RATA TIDAK TEPAT YANG BERUNSUR PENGHINAAN KEPADA KERABAT SULTAN BRUNEI DAN FILEM JEPUN 'ZEGEN' ARAHAN SHOHEI IMAMURA!


(Atau: FILEM BARAT YANG DIBUAT DI MALAYSIA DENGAN MENDAPAT SOKONGAN DAN DANA KHAS YANG MEMBERI GAMBARAN NEGATIF KEPADA NEGARA!)

Oleh Mansor Puteh

 

 

Beberapa persoalan timbul dari penerbitan dan pengedaran filem ini yang pada asalnya mempunyai 'Edge of the World' yang diedar di beberapa buah negara dalam tahun 2021.

 

Dalam bulan ini filem yang sama tetapi dengan tajuk baru iaitu 'Rajah' akan ditayang di pawagam di Malaysia.

 

Pertamanya ialah: Apakah sebenarnya yang ingin dipapar dan ditunjuk oleh penerbit filem ini menerusi filem mereka?

 

Untuk penonton di barat ia lebih berusaha untuk menunjukkan kegagahan orang Inggeris yang datang jauh dari negara mereka di barat sehingga dapat menawan wilayah Melayu yang kononnya terkebelakang dan boleh dikotak-katikan sehingga mereka dapat mentabalkan seorang 'Rajah' bangsa Inggeris di wilayah Melayu yang sudah berkurun lama mempunyai Raja dan sistem pemerintahan sendiri.

 

Atau apakah pihak penerbit filem sengaja mahu guna latarbelakang Melayu dan Sarawak dan juga Islam untuk mencemar kedaulatan Bangsa Melayu dan Ugama Islam?

 

Ini yang saya dapat teka dan nampak dengan jelas berlaku, khususnya apabila filem ini sengaja menonjolkan dua watak yang boleh dikira agak 'sumbang' dalam perwatakan dan gelagak mereka.

 

Filem ini mendapat sokongan Finas dan kerajaan negeri Sarawak sebab ia memaparkan sebuah kisah yang berlaku semasa zaman penjajahan Inggeris yang juga melibatkan sejarah negara Brunei.

 

Saya sudah tonton filem asal ini dan mendapatinya ia seperti filem-filem yang diarah dan diterbit oleh orang Inggeris tentang sejarah Melayu yang boleh diagak dengan penonjolan isiu dan watak-watak sumbang, yang dilihat dari kacamata orang Inggeris termasuk filem seperti 'Farewell to the King' yang mengisahkan pengelaman orang putih di Sarawak pada zaman silam yang akhirnya tidak mendapat sambutan di seluruh dunia dan juga di Malaysia sendiri.

 

Yang lebih teruknya ialah kenapa Finas dan kerajaan negeri Sarawak sanggup bantu penerbitan filem ini?

 

Sedangkan ia tidak memberi gambaran yang nyata dan jelas tentang kisah yang mahu ditonjolkan dengan watak-watak sumbang khususnya watak seorang anak raja lelaki yang digambarkan sebagai seorang 'gay' yang cuba goda seorang lelaki Inggeris dan seorang puteri raja yang hidup bebas dan liar dan tidur dengan seorang lelaki Inggeris!

 

Kedua-dua watak penting dalam filem ini keturunan Melayu yang berasal dari Brunei dimainkan oleh dua pelakon dari Indonesia.

 

Namun demikian apakah pihak Finas dan kerajaan negeri Sarawak kaji sedalamnya skrip yang diberi kepada mereka oleh penerbit, yang mengisahkan peristiwa di Sarawak yang membabitkan Kesultanan dan Kerabat Sultan Brunei semasa pemerintahan Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddin?

 

Tidakkah mereka sedar bahawa kisahnya boleh dikatakan hampir semuanya tidak tepat dengan kedua watak yang tidak wujud?

 

Atau apakah mungkin penerbit filem beri salinan skrip yang lain kepada Finas dan kerajaan negeri Sarawak untuk mendapat sokongan dari mereka dengan Finas memberi imbuhan atau pulangan sehingga tiga-puluh peratus ke atas segala perbelanjaan penerbitan yang dibuat semasa penggambaran di Sarawak?

 

Sepatutnya Finas yang memberi dana khas kepada mana-mana penerbitan filem yang dibuat di Malaysia mempunyai syarat iaitu filem yang dihasilkan akhirnya mesti patuh kepada skrip dan perjalanan cerita serta watak yang ada di dalamnya, sebab kemungkinan besar babak-babak dan watak-watak yang 'sumbang' yang ada dalam filem itu boleh dibuat di negara mereka sendiri atau di dalam studio, jadi akhirnya filem yang diterbit langsung tidak sama dengan filem seperti yang terdapat dalam skrip yang diserahkan.

 

Ada sebuah pengarah filem Jepun dengan nama Shohei Imamura yang baharu menang anugerah penting di Pesta Filem Cannes dalam tahun 1983 dahulu telah datang ke Melaka untuk membuat penggambaran untuk filem 'Zegen', tetapi di bahagian luar sahaja sedangkan babak di dalam rumah atau bangunan di Melaka itu sebenarnya adalah pusat pelacuran di dalam negara kita iaitu semasa zaman penjajahan Jepun dulu dengan ada ramai watak perempuan Jepun yang hampir berbogel.

 

Ia juga sama dengan beberapa filem dari luar negara yang dibuat di Malaysia yang mana negara asal di mana filem-filem itu berlatarbelakangkan seperti Thailand dan Myanmar enggan memberi kebenaran seperti 'King and I' iaitu tentang Raja Siam dan 'The Lady' tentang Aung San Suu Kyi.

 

Kerajaan kedua buah negara tersebut enggan beri kebenaran untuk dibuat di negara mereka sebab kedua buah filem itu dianggap sebagai sesuatu yang menghinakan dengan 'King and I' menunjuk watak Raja Siam dalam suasana santai dalam istana sambil menari dan seorang wanita yang ketika itu berada di dalam kurungan rumah di Yangon sebelum beliau memegang jawatan penting Myanmar dan kemudiannya dipenjarakan sekarang.

 

Sehingga kini belum lagi terdapat sebuah filem terbitan syarikat luar negara yang telah berjaya memaparkan sejarah dan suasana di Malaysia untuk disajikan kepada penonton antarabangsa sebab ia semua adalah tentang kisah sejarah yang sengaja atau tidak sengaja diserongkan atau yang hanya mempunyai beberapa babak di Malaysia di dalamnya.

 

Sebuah filem berjudul 'Entrapment' lakonan Sean Connery yang terkenal dengan watak James Bond yang dimainnya, yang dibuat di Malaysia untuk beberapa babak menunjukkan Menara Berkembar Petronas yang terletak di Kuala Lumpur sengaja disunting untuk menunjukkan ia terletak berhampiran dengan kawasan di mana terdapat banyak bangunan usang - dan di Melaka!

 

Comments