Mara and Columbia Days: Merakam itu dan ini, di sana dan di sini...
‘MARA AND COLUMBIA DAYS’ (SEMASA DI MARA DAN COLUMBIA): MERAKAM ITU DAN INI DI SANA DAN DI SINI…: PAMERAN DI BALAI SENI DI LANGKAWI…
Oleh Mansor bin Puteh
Seorang pengunjung ke pameran saya, ‘Mara and Columbia Days’ yang berlangsung di Balai Seni di Langkawi, Paul Penders, yang sudah lama menetap di Langkawi, datang untuk jengok pameran, dan beliau tulis kepada saya dengan bertanya apa teknik lakaran atau sketsa yang saya guna.
Saudara Paul, keturunan Belanda telah lama tinggal di Langkawi di mana beliau mempunyai sebuah pusat penginapan yang bernama Ocean Residences di Kuah, yang terletak tidak jauh dari Balai Seni.
Malangnya, bila dia datang ke Balai Langkawi, saya sudah balik ke Kuala Lumpur; jadi saya tidak dapat berjumpa dengan beliau di situ, untuk jawap apa soalan yang beliau ada.
Namun, untuk menjawab soalan yang diberi kepada saya secara bertulis dengan Messenger, saya beritahu, cara atau teknik lakaran yang saya guna sebenarnya tidak mengikut apa-apa cara; dan terpulang kepada pengunjung yang melihatnya untuk beritahu kepada saya.
Paul ada beritahu saya secara bertulis guna Messenger tentang teknik yang saya guna yang mengikut dia adalah secara ‘minima’ yang bermakna saya guna garisan sedikit tetapi ia dapat memberi gambaran yang sebenarnya, seperti ada yang saya mahu tunjuk dan ada yang saya mahu sembunyi.
Ini jelas didapat dalam beberapa lakaran yang saya buat dalam bilik asrama saya semsasa saya belajar di Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini dikenali dengan nama UiTM atau Universiti Teknologi Mara di Shahalam dan juga di asrama Harmony Hall di Columbia University di Bandaraya New York.
Saya juga ada jelaskan dalam forum yang diadakan di tingkat satu Balai Langkawi pada 9 Januari, bahawa saya ada buat banyak lakaran dalam bilik asrama saya di kedua buah universiti dan kemungkinan besar ia adalah pengaruh dari lukisan oleh Vincent van Gogh yang ada buat lukisan dalam bilik kecilnya, yang tidak ramai pelukis terkenal barat yang buat.
Saya juga jelaskan bahawa saya sebagai pelajar menghabiskan banyak masa dalam bilik dalam asrama dan ia adalah bahan saya untuk guna; dan dari dalamnya saya kaji perubahan mood cahaya; lebih-lebih lagi di dalam bilik asrama Harmony Hall di Bandaraya New York yang mana mengalami perubahan musim yang merubah suasana dalam bilik asrama saya, seperti juga di kawasan luar dan di kampus.
BALI DAN MARA:
Saya juga ada sentuh dalam forum di Balai Langkawi yang saya tidak pernah membuat sekarang lakaran, sehinggalah seorang pensyarah ITM dari Australia bernama Graham S Card yang kemudiannya masuk Islam dan ambil nama Abdul Karim Khalid Abdullah Card mencabar saya untuk pergi menggembara ke Bali.
Dia kata dia akan beri saya tiket pulang-balik ke Jakarta dan dari situ saya boleh ambil kenderaan darat seperti bas dan keretapi untuk ke Denpasar dan Ubud di Bali. Ubud adalah sebuah pekan untuk pelukis dan pengarca. Dia juga beri saya empat ratus ringgit sebagai wang saku.
Dan syaratnya hanya satu iaitu, saya buat lakaran dan beri kepada dia selepas balik.
Saya tidak pernah buat lakaran tapi saya yakin saya boleh buatnya; dan saya berjaya membuat banyak lakaran kasar dan beri kepadanya dengan beberapa saya sempat buat salinan fotostat.
Dan dua bulan selepas itu saya daftar sebagai pelajar di ITM dan saya terus dengan bidang ini dan buat lakaran di dalam bilik asrama dan seluruh kampus dan juga di tempat lain disamping mengambil gambar.
Secara kebetulan kursus Sebaran Am yang saya ambil dengan pengkhususan Pengiklanan mempunyai kursus jurugambar dan pelajar ambil gambar dan proses negatif dan cetak; jadi saya dapat bahan percuma untuk ambil ratusan gambar sepanjang berada tiga tahun di ITM.
COLUMBIA:
Saya tidak sedar bahawa saya pelajar ITM pertama dan mungkin terakhir ketika itu dan orang Melayu dan rakyat Malaysia pertama yang berjaya mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran di Columbia University, yang kemudiannya saya sedar bahawa ia bukan sebarang universiti; ia adalah sebuah universiti bertaraf Ivy League – yang merupakan sekumpulan lapan universiti terulung di Amerika seperti: Harvard, Princeton, Yale, Cornell, Columbia, Brown, Dartmouth dan Penn.
Tetapi apa yang saya pasti sedar ialah saya perlu untuk rakam sebanyak peristiwa yang saya akan lalui semasa di sini, dan ia bermula dari sebelum ke sana lagi; semasa saya tunggu visa pelajar yang tidak dapat-dapat sebab surat penerimaan dari Columbia tidak lagi dikirim kepada saya sehinggalah ke saat-saat akhir.
Jadi untuk melekakan diri sendiri, saya teruskan kerja sambilan untuk rakam pengelaman dan peristiwa semasa di Bali ke ITM dan sekarang di Columbia dan Bandaraya New York dan Amerika dengan membuat lakaran dan rakam gambar dengan sebanyaknya, semata-mata untuk merakam pengelaman peribadi dan juga pengelaman orang pertama dan kini saya sedar bahawa saya menjadi orang pertama dan terakhir belajar bidang perfileman di peringkat sarjana di Columbia!
Saya juga hairan kenapa ramai pelajar Malaysia yang pergi belajar di luar negara bukan sahaja di Amerika tetapi di England dan Australia dan New Zealand dan negara-negara lain termasuk sekarang di Rusia, tidak terfikir untuk rakam pengelaman mereka semasa mereka belajar di sana; ia bukan untuk keenakan diri sendiri tetapi sebagai usaha merakam pengelaman pelajar Malaysia dan juga Melayu di negara lain.
Ia bukan pengelaman yang boleh diulang-ulang. Dan pengelaman kita bukan sahaja tertumpu kepada alam sekolah di sekitar kampus tetapi lebih dari itu, dari segi pergaulan dan penggembaraan kita di kawasan luar kampus.
UTUSAN MELAYU DAN KERTAS CETAKAN ‘NEWSPRINT’::
Olehsebab saya gagal mendapat biasiswa Mara untuk melanjutkan pelajaran di Columbia saya mohon dan dapat bekerja di Utusan Melayu sebagai wartawan; sebab saya pernah buat latihan amali di sini semasa di Mara.
Dan semasa bekerja sebagai wartawan, saya juga berkesempatan berjumpa dengan beberapa pemimpin Melayu dan mereka dengar rintihan saya dan mungkin tolong untuk mendapatkan saya pinjaman pelajaran Mara pula.
Dan semasa bekerja dengan Utusan saya ada simpan simpan beberapa keping kertas cetak Utusan yang dipanggil ‘newsprint’ yang diguna untuk cetakan akhbar setiap hari.
Saya guna kertas ini yang saya simpan sejak 1978 yang sudah bertukar warna sehingga menjadi warna cokelat untuk cetak gambar-gambar saya ambil semasa di Mara dan Columbia dengan beberapa keping lakaran yang saya buat di kedua buah universiti di atas kertas biasa yang akhirnya diguna untuk pameran saya di Balai Seni Langkawi.
Ini termasuk dua set gambar semua Perdana Menteri dan beberapa karya tampalan atau ‘collage’.
NOTA AKHIR:
Sebenarnya apa yang saya tuliskan di sini adalah sebahagian dari apa yang saya cakap dalam forum yang diadakan di Balai Seni Langkawi pada 9 Januari, 2021 sempena pameran itu dengan Faizal Sidek bertindak sebagai moderator dengan pameran dirasmikan oleh Pengarah Balai Seni Nasional Sdr Amerrudin Ahmad yang turut memberi ucapan sebelum merasmikannya.
Comments